Categories
GLOBAL

Enam jam usaha padam kebakaran tangki minyak di Singapura

SINGAPURA 21 MAC: Tangki simpanan minyak yang dijilat api di Pulau Busing dapat dipadamkan selepas hampir enam jam operasi memadam kebakaran, kata Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Menurut SCDF, ia adalah usaha bersepadu Pasukan Kecemasan dan Pasukan Respons Kecemasan Syarikat (CERT).

 

Dalam pengemaskinian terbaru kira-kira 1.30 pagi ini, SCDF berkata 31 jentera sokongan dan pemadam kebakaran dan 128 anggota SCDF terlibat dalam operasi itu.

Dua jentera besar penyembur buih dengan 6000 GPM (gelen per minit) digunakan untuk mengurangkan kebakaran tangki simpanan minyak manakala lima jentera penyembur air tanpa pemandu digunakan bagi menyejukkan tangki bersebelahan, menurut SCDF.

Operasi yang diketuai SCDF disokong beberapa agensi berkaitan seperti Polis Pengawal Pantai, pihak berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura, Tentera Laut Republik Singapura dan Agensi Alam Sekitar Nasional.

SCDF berkata sebaik pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada kira-kira 5.50 petang, sumber SCDF digerakkan ke Terminal Feri Pasir Panjang, sebelum menaiki sebuah bot lancang ke Pulau Busing.

Menurut SCDF, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sepanjang operasi itu, SCDF berkongsi gambar dan video dalam laman Facebook rasminya dengan satu daripadanya merakamkan anggota bomba bergilir untuk memulihkan diri selepas operasi memadam kebakaran yang begitu sukar dan berpanjangan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Undang-Undang Singapura K Shanmugam, dan Setiausaha Tetap (Hal Ehwal Dalam Negeri) Pang Kin Keong kelihatan berada di pulau itu bagi menyaksikan sendiri operasi memadam kebakaran.

Pulau Busing yang merupakan kawasan perindustrian adalah satu daripada pulau yang terletak di pesisir barat daya Singapura.

SUMBER: BERNAMA