OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu air, di negeri itu.
Baginda turut mahu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bekerjasama dalam memuktamadkan proses pengambilalihan syarikat konsesi air atas semangat federalisme demi menjamin kepentingan negeri dan rakyat.
“Tatkala Beta bertitah pada pembukaan Persidangan Penggal Kelima tahun lalu, Beta sudah menitahkan emua pihak mengambil sikap bertanggungjawab dan tidak mempolitikkan isu air, di negeri ini.
“Oleh itu, Beta berharap isu air membabitkan kepentingan rakyat dapat diatasi segera.
“Sebelum ini, Beta pernah bertitah politik bukan semata memburu kuasa tetapi mencapai urus tadbir cemerlang bagi membangun negeri dan memenuhi aspirasi rakyat,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda berharap usaha Kerajaan Negeri dan Air Selangor menjamin kelestarian bekalan air akan dilaksanakan secara holistik, efisien dan ‘affordable’ untuk rakyat.