KUALA LUMPUR 22 MAC: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangkakan berkembang 5.2 peratus pada 2018, merosot sedikit daripada 5.9 peratus pada 2017 berikutan kedudukan kredit yang lebih ketat dan pertumbuhan eksport yang sederhana.
Penasihat Ekonomi dan Ketua Ekonomi Asia Oxford Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales (ICAEW), Sian Fenner berkata, prospek 2018 akan ditentukan oleh kedudukan rakan import Malaysia serta kedudukan perdagangan global.
“Selain itu, kadar faedah yang terus meningkat susulan kenaikan pada Januari, mungkin dipercepat jika pasaran tenaga kerja yang ketat mencetuskan pertumbuhan gaji yang lebih kukuh, tidak dijangkakan pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tinjauan eksport juga mencatatkan pemulihan yang mengagumkan.
Menerusi penandatanganan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), firma Malaysia akan diberikan akses keutamaan kepada 10 pasaran, yang menyumbang 13 peratus daripada KDNK global.
ICAEW bagaimanapun berkata, perkembangan positif ini terjejas ekoran tindakan Kesatuan Eropah mahu mengharamkan penggunaan minyak kelapa sawit dalam biofuel mulai 2021, yang secara tidak seimbang akan menjejaskan isi rumah luar bandar berpendapatan rendah memandangkan Malaysia ialah pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia.
Katanya, permintaan dalam negeri dijangka terus menjadi teras pertumbuhan Malaysia pada 2018 dengan kedudukan pasaran pekerja yang bertambah baik, kenaikan gaji sektor pembuatan dan banyak langkah populis yang diumumkan dalam Bajet 2018, yang terus menyokong perbelanjaan isi rumah tahun ini.
Bagaimanapun, perbelanjaan isi rumah berkemungkinan sederhana tahun ini memandangkan kos perkhidmatan hutang meningkat, seiring kenaikan kadar pinjaman dalam negara dan pudarnya sokongan fiskal selepas pilihan raya.
Untuk masa hadapan, asas tetap menggalakkan untuk pelaburan dan pertumbuhan sektor swasta secara berterusan di Asia berikutan pertumbuhan perdagangan dunia yang teguh pada 5.2 peratus tahun ini, sentimen perniagaan yang lebih baik disebabkan inisiatif Satu Jalan Satu Jalur dan CPTPP selain unjuran secara tiada unjuran relatif mengenai inflasi dan tukaran asing.
SUMBER: BERNAMA