Categories
SELANGOR

KISS: Penerima gembira, ringankan kos sara hidup

KAPAR, 17 MAC : Seramai 438 wanita dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa menerima kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, penyerahan itu merupakan penerima kad KISS fasa kedua di DUN berkenaan.

“Sebelum ini saya sudah menyerahkan 119 kad KISS fasa pertama di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda.

“Semua penerima amat gembira dan saya berharap dengan pemberian kad KISS ini sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh golongan ibu dan suri rumah di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan kad KISS Fasa kedua di Dewan Taman Seri Kerayong, di sini, semalam.

Dr Daroyah yang juga selaku Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga menzahirkan rasa gembira apabila dapat memenuhi aspirasi rakyat terutamanya golongan wanita dengan mewujudkan program KISS itu.

“KISS bukan hanya membantu golongan wanita namun ia adalah satu bentuk penghormatan kepada mereka serta memberi kuasa untuk golongan ini membeli barangan keperluan dan mengurus perbelanjaan dengan baik.

“Selain itu, program KISS akan tetap diteruskan sekiranya negeri ini masih di bawah pentadbiran kerajaan yang sama,” katanya.

Terdahulu, pada program berkenaan turut diadakan tayangan video cara penggunaan kad KISS oleh wakil syarikat Selgate Corporation Sdn Bhd.

Sementara itu, salah seorang penerima kad KISS, Nor Azliana Ahmad Yusof, 38, berkata, beliau berasa gembira apabila terpilih dan berharap Kerajaan Negeri akan meneruskan program kad KISS itu.

“Saya mempunyai enam orang anak dan hanya suami sahaja bekerja, kad KISS yang disediakan Kerajaan Negeri amat membantu untuk membeli barangan keperluan setiap bulan, semoga ia diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

=EZY=