OLEH AFIX REDZUAN
SEPANYOL, 5 MAC: Lionel Messi menjaringkan gol ke-600 sepanjang karier bola sepak bagi membantu Barcelona menewaskan Ateltico Madrid 1-0 di Nou Camp awal pagi tadi.
Gol tunggal Messi itu hadir menerusi sepakan percuma pada minit ke-26 selepas beliau dijatuhkan Thomas di luar kotak penalti sekaligus melebarkan jurang lapan mata di persada liga ke atas Atletico di tangga kedua .
Pasukan tuan rumah cuba menggandakan jaringan tetapi gagal menemui penyudah dan nasib sama dilalui Atletico yang membariskan gandingan Antoine Griezmann dan Diego Costa di bahagian serangan.
Messi, 30, sudah menjaringkan 539 gol buat Barcelona dan 61 bersama Argentina dengan 747 penampilan keseluruhan.
Beliau menjaringkan gol pertama bersama Barcelona pada 2005 ketika menentang Albacete dan berjaya memadam rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab 10 tahun kemudian yang dipegang Paulino Alcantara dengan 369 gol.
Foto Kredit: Reuters