Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

LZS sumbang 1,115 komputer bantu mahasiswa asnaf

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbangkan sebanyak 1,115 komputer riba bernilai RM2.5 juta kepada mahasiswa daripada keluarga asnaf fakir dan miskin.

Ketua Divisyen Pembangunann Asnaf, Zaharuddin Salim berkata, bantuan itu diberikan kepada mahasiswa yang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di seluruh negara.

“Bagi melayakkan mereka menerima bantuan itu, pelajar perlu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.5 ke atas serta keutamaan diberi kepada yang mengikuti pengajian kejuruteraan, pengurusan perniagaan dan teknologi maklumat.

“Dengan bantuan ini kita berharap dapat memberi kemudahan pelajar ketika sessi pembelajaran.

“Bantuan ini juga merupakan bantuan tambahan selain pelajar juga menerima bantuan sara diri bulanan dan pembiayaan yuran pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Agihana Pendidikana Pelajar Asnaf 2018 di Dewan Canselor, Management dan Science University (MSU).

Pada masa sama turut menyaksikan penyampaian bantuan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi Pembukaan Akaun SSPn-i oleh PTPTN kepada pelajar tajaan LZS berjumlah RM115,750.

Sumbangan itu adalah agihan zakat PTPTN bagi pembukaan akaun kepada 2,315 murid tahun satu juga daripada keluarga asnad dengan deposit RM50 setiap seorang.

Mereka juga turut menerima insentif geran sepadan RM50 dari PTPTN.

Terdahulu, LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat dikalangan korporat bersama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor.

Majlis penyerahan disempurnakan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof. Emeritus Dr Muhamad Awang, Pengurus Besar Kanan Pejabat PTPTN Negeri, Wan Zabiah Wan Abu Bakar dan Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif.

=EZY=