OLEH AFIX REDZUAN
SUBANG JAYA, 25 MAC: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membina rumah mampu milik bernilai RM200,000 ke bawah tanpa perlu melakukan gimik menjelang pilihan raya.
Katanya, isu besar kini bukanlah jumlah rumah yang dibina tetapi masalah pemohon yang gagal mendapatkan pinjaman bank sekitar 60 peratus kerana peraturan ketat dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM)
“Di manakah kewajaran Perdana Menteri membuat tuduhan tersebut sedangkan Rumah PR1MA harganya RM400,000? Semua orang tahun PR1MA adalah rumah mampu milik.
“Di Selangor walaupun harga tanah di Lembah Klang mahal tetapi kita berjaya kawal harga rumah di bawah RM250,000.
“Saya cabar Perdana Menteri bina rumah mampu milik di Kuala Lumpur atau Pahang di bawah RM200,000. Mereka tidak boleh (bina),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Pusat Konvensyen Sunway Piramid.
Jelasnya, Kerajaan Negeri membina 25,000 buah rumah walaupun sasaran awal sekitar 15,000.
“Statistik membuktikan 70 peratus daripada jumlah Rumah Selangorku di Selangor di bawah RM200,000. Ini statistik, angka tidak pernah berbohong.
“Isu sekarang bukan jumlah rumah yang mahu dibina. Isunya peminjam tidak mendapat pinjaman daripada bank kerana kawalan kredit yang dikenakan Bank Negara terlalu ketat ekoran hutang isi rumah negara kita.
“Maka Bank Negara perlu membantu melonggarkan dasar ini supaya pembeli rumah pertama dapat memiliki rumah,” katanya.
=EZY=