OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 17 MAC: Rizab bekalan air di Selangor kini mencatatkan peningkatan 5.4 peratus sekaligus akan menyaksikan peningkatan 11 peratus hujung tahun ini.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah itu dijamin terus berterusan selepas langkah awal yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan gangguan bekalan air tidak berlaku.
Katanya, Kerajaan Negeri sudah mengeluarkan belanja besar untuk menukar paip lama dan membina dua buah loji rawatan air sebelum ini.
“Tahun lalu, rizab bekalan air sebanyak 3.8 peratus dan sehingga kini bekalan air meningkat kepada 5.4 peratus.
“Bekalan ini akan meningkat kepada 11 peratus hujung tahun ini. Sejak saya mengambil alih pentadbiran, tiada catuan air dibenarkan berlaku,” katanya di Karnival Himpunan Rakyat, di Stadium Malawati, di sini.
Mohamed Azmin turut memaklumkan status semua empangan utama negeri kini mencapai 100 peratus
Katanya, ia membabitkan empangan Sungai Selangor, Sungai Tinggi dan Sungai Semenyih.
Manakala, empangan Sungai Langat (99.9 peratus), Sungai Batu (99.98 peratus), Sungai Labu (99.78 peratus) dan Tasik Subang (99.92 peratus).
“Ini bermakna kenyataan yang diberikan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Dato’ Dr Zaini Ujang tidak tepat.
“Saya boleh bawa Menteri atau KSU ke empangan untuk meninjau dan juga boleh campak KSU dalam empangan,” katanya dengan nada berseloroh.
=EZY=