Categories
SELANGOR

Orang Besar Istana: Amanah besar penuhi aspirasi Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 15 MAC: Yang Dimuliakan (YDM) Tengku Musahiddin Shah Tengku Abdul Samad Shah AlHaj, 34, menganggap pelantikannya ke jawatan Orang Besar Istana sebagai amanah besar bagi memenuhi aspirasi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau menyifatkan pelantikannya bersama YDM Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail sebagai satu penghormatan dan mewakili suara generasi muda, di Selangor.

“Ia boleh dianggap sejarah apabila Sultan Selangor melantik Orang Besar Istana dalam kalangan kita yang muda dan berharap mereka lebih kanan juga berusia akan memberi bimbingan.

“Kesempatan ini akan digunakan sebaiknya untuk memenuhi harapan baginda merapatkan hubungan antara rakyat dan istana terutama golongan muda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, baginda Sultan amat prihatin dan memahami keperluan rakyat bersesuaian dengan perubahan serta keadaan masa kini, tambahan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, 28, sendiri mewakili Generasi Y.

“Perubahan berlaku dengan teknologi terkini, namun golongan muda tidak harus mengabaikan dengan terus mendokong budaya serta adat istiadat Kesultanan Selangor diwarisi zaman berzaman,” katanya.

Syed Haizam Hishamuddin, 34, berkata, hasil kajian mendapati lebih kurang 65 peratus rakyat Selangor adalah di bawah 35 tahun dan menyifatkan pelantikan itu amat bertepatan.

Beliau berkata, Selangor adalah negeri tumpuan ramai dan terdapat banyak institusi pengajian tinggi bagi melahirkan generasi berilmu.

“Seperti diamanahkan Sultan Selangor, kita akan melaksanakan tanggungjawab sebaiknya dan memastikan segala aktiviti berkaitan istana berjalan lancar serta memberi kebaikan kepada rakyat.

“Kita juga akan membantu Raja Muda Selangor yang aktif dalam pelbagai aktiviti membabitkan golongan muda,” katanya.

Bersesuaian dengan peredaran masa, katanya, kemudahan media sosial akan digunakan sepenuhnya bagi menyalurkan maklumat dan merapatkan rakyat dengan Istana Selangor.

Sultan Selangor melantik Tengku Musahiddin Shah ke jawatan itu dan dikurniakan gelaran ‘Tengku Seri Perkasa Diraja’, manakala Syed Haizam Hishamuddin dengan anugerah ‘Engku Panglima Setia Diraja’.