KUALA LUMPUR 5 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan 20 pertukaran dan penyelarasan pegawai kanannya berkuat kuasa pada 9 April depan.
Antara yang terlibat ialah Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Azman Yusof yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu dengan memangku pangkat CP.
Jawatan Azman diambil alih Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Yusoff Mohd Amin dengan memangku pangkat DCP, kata Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh pula akan memangku gred VUYA5 (JUSA A).
Selain itu, Timbalan Pengarah KDN/KA (Kepolisan Am) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Abd Aziz Yusof akan memangku pangkat CP.
Asmawati berkata SAC Modenisasi Organisasi Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Urus Setia Pejabat KPN Bukit Aman Datuk Muhammad Az-lee Abdullah pula dilantik sebagai Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.
Tempat Muhammad Azlee diambil alih oleh SAC Mohd Azman Ahmad Sapri yang merupakan Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Sempadan Kementerian Dalam Negeri Datuk Mohamad Ismail akan memangku pangkat DCP.
Penolong Pengarah Koordinasi Sumber Sokongan Bahagian Koordinasi Sumber Sokongan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman ACP Nik Azlan Wan Kadir pula dilantik sebagai Komander Pasukan Simpanan Persekutuan Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
SUMBER: BERNAMA