Categories
NASIONAL

PRU14: SPR dicadang undang pemerhati berwibawa

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mengundang pemerhati antarabangsa dari negara berwibawa untuk memantau Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya ia tidak dipertikaikan.

Justeru, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah bagi mengundang pemerhati antarabangsa dari negara Komanwel dan Asean untuk tujuan itu dialu-alukan supaya kesilapan, pada PRU13 tidak berulang.

Bagaimanapun, beliau tetap melahirkan kebimbangan terhadap kelemahan SPR mengundang pihak berkaitan dari negara dipertikaikan kewibaannya sepertu Myanmar dan Kemboja.

“Ini kerana Myanmar pada saat ini mempunyai rekod buruk dengan isu berkaitan hak asasi manusia dan pendemokrasian serta Kemboja dipimpin Hung Sen menindas pembangkang juga mencengkam demokrasi.

“Saya menggesa undangan dipanjangkan kepada pemantau pilihan raya antarabangsa dari negara berwibawa,” katanya ketika berbahas menyokong titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut meminta SPR mewujudkan “caretaker government” selepas pembubaran Parlimen, bersesuaian Perkara 55(3) dengan kerajaan sementara mengambil alih pentadbiran negara seperti yang pernah dipraktikkan Tunku Abdul Rahman.

Katanya, SPR perlu memikul amanah itu dengan kewujudan “caretaker government” bersifat neutral dan berkecuali.

“Berbanding beberapa PRU lalu dengan tempoh kempen singkat, pada PRU14 nanti saya mencadangkan SPR mempertimbangkan ia diadakan tidak kurang 21 hari untuk tujuan itu,” katanya.