Categories
EKONOMI

Ringgit diniaga 3.8920/8960 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 5 MAC: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini susulan penyusutan dolar ekoran kebimbangan mengenai perang dagangan global, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit disebut harga pada 3.8920/8960 berbanding dolar AS daripada 3.9020/9050 pada Jumaat lepas.

Ketua Pedagang OANDA bagi Asia-Pasifik, Stephen Innes berkata, keputusan Presiden AS, Donald Trump untuk mengenakan tarif import yang tinggi ke atas keluli dan aluminium bagaimanapun tidak memberi kesan di peringkat serantau memandangkan China bukan pembekal utama ke pasaran AS.

“Mata wang Asia memberi reaksi sementara hasil pengumuman tarif itu dengan ringgit mengatasi kedudukan mata wang pasangan serantau susulan aliran masuk modal asing.

“Tidak ada petunjuk mengenai peranan tarif perdagangan dalam usaha memahami politik perang perdagangan, namun ringgit terus kukuh berbanding rakan serantaunya,” katanya.

SUMBER: BERNAMA