Categories
SELANGOR

Sasaran 56,000 pinjaman Hijrah Selangor hampir dicapai

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri hampir mencapai sasaran sebanyak 56,000 pinjaman ditetapkan melalui Hijrah Selangor, tahun ini.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata berdasarkan perkembangan setakat ini, sasaran ditetapkan itu mampu dicapai menjelang akhir Mac ini.

“Sehingga Februari lalu, kita telah mencatatkan 51,244 pinjaman di seluruh Selangor dengan membantu lebih 45,000 usahawan di negeri ini.

“Ini bermakna menjelang akhir Mac ini, kita sudah hampir mencapai sasaran ditetapkan iaitu 1,000 pinjaman bagi satu Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibantu,” katanya dalam sesi penggulungan di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan turut membantu golongan usahawan dalam aspek lain seperti pembangunan promosi, pembungkusan dan yang berkaitan.

Katanya, mengjelang pertengahan tahun ini, satu lagi produk akan diperkenalkan iaitu program kelahiran serta pelabelan sijil halal kepada usahawan yang telah memulakan perniagaan.

“Dengan sijil halal ini, kita hampir melengkapkan program pembangunan keusahawan di Selangor, sama ada dalam bentuk pinjaman, geran bantuan kewangan, latihan keusahawan dan sebagainya,” katanya.

=EZY=