Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Simpanan air di Selangor 2019 meningkat kepada 11%

Kita mengalu-alukan kenyataan Persatuan Air Malaysia (MWA) pada 19 Mac 2018 bahawa Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang telah menggunakan maklumat yang tidak dikemaskini dan mengelirukan dalam serangannya terhadap situasi air di Selangor.

MWA menyedari Dr Zaini merujuk kepada maklumat lama pada 2015 dan 2016 untuk memperincikan situasi simpanan air di Selangor pada 2017 dan sekarang.

MWA juga mengesahkan bahawa Dr Zaini mengabaikan situasi sebenar margin simpanan air di Selangor pada 2015 dan 2016, yang mana masing-masing adalah sebanyak 2.2 peratus dan 4.4 peratus.

Bagaimanapun, MWA dan Dr Zaini gagal menyebut bahawa Selangor sudah memberikan mereka dan orang awam akan angka terbaru pada 2018 berhubung simpanan air Selangor, yang sebenarnya berada di atas paras kosong.

Sejak Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 beroperasi sepenuhnya pada bulan lalu, margin simpanan air Selangor kini berada pada paras 5.4 peratus.
Kerajaan Negeri Selangor sudah membelanjakan RM177.5 juta terhadap Semenyih 2 bagi memastikan orang ramai mendapat akses air yang bersih dan selamat.

Dengan siapnya LRA Langat 2 dan LRA Labohan Dagang pada penghujung tahun ini, dijangkakan margin simpanan air akan meningkat kepada 11 peratus pada 2019.

Kerajaan Pakatan Selangor bersama syarikat pengendali air negeri, Air Selangor merancang untuk membawa lebih banyak pelaburan air ke Selangor dan akan mengubah situasi pembekalan air Selangor selepas salah pengurusan dan penswastaan sejak berdekad lalu.

Ketua Setiausaha KeTTHA diingatkan supaya bersikap professional dan menahan diri daripada menyokong serangan UMNO/Barisan Nasional terhadap air Selangor ketika pilihan raya umum menjelang tiba.

 

YIN SHAO LOONG

Pengarah Komunikasi Strategik

Pejabat Menteri Besar Selangor