Categories
SELANGOR

Stesen LRT Kelana Jaya tutup sementara

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 MAC: Stesen LRT Kelana Jaya masih ditutup sementara waktu atas faktor keselamatan susulan hujan lebat dan angin kencang pada tengah hari semalam.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan berkata, hujan lebat dan angin kencang menyebabkan beberapa keping atap bumbung stesen diterbangkan angin.

Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan.

“Operasi LRT Laluan Kelana Jaya bertindak menutup stesen sejak semalam sehingga pagi ini atas faktor keselamatan.

“Para pelanggan dari Gombak atau Putra Heights yang ingin ke Stesen Kelana Jaya harus turun di Stesen Taman Bahagia untuk menaiki bas perantara ke Stesen Kelana Jaya,” katanya.

Bas ulang alik percuma yang disedikan bernombor WQB3135, WPX4243, WQC698 dan WUU6042 untuk perkhidmatan Stesen Taman Bahagia- Stesen Kelana Jaya-Taman Bahagia dengan kekerapan kira-kira 10 hingga 15 minit.

Manakala, tren dari Gombak ke Putra Heights dan sebaliknya akan melalui stesen LRT Kelana Jaya tanpa henti

Pengguna diminta terus mengikut maklumat terkini menerusi saluran media sosial di Facebook dan Twitter Rapid KL bagi mendapatkan status terkini perkhidmatan LRT.

=EZY=