OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 26 MAC: Pembentangan Rang Undang-Undang bertujuan meminda Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 pada persidangan Dewan Negeri penggal ini mendapat perkenan.
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pindaan dibuat kepada Enakmen itu selaras dengan pindaan kepada Akta 313 yang akan dibentangkan di Parlimen kelak.
Titah baginda Pindaan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 itu akan mengenakan hukuman lebih berat kepada penceroboh hutan di Selangor.
“Bagi Selangor, Akta Perhutanan Negara diterima pakai melalui Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang berkuat kuasa pada 2 Jun 1986.
“Pindaan ini membuktikan komimen serius Kerajaan Negeri dalam memelihara hutan di Selangor,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri ke 13, di Dewan Annexe, di sini.
Titah baginda, usaha dilaksanakan itu menjamin generasi akan datang mewarisi lingkungan yang sihat dan mengekalkan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebagai aset dan khazanah yang amat bernilai.
Baginda mahu Selangor menjadi perintis sebagai negeri hijau yang mengekalkan hutan simpan dan memelihara flora dan fauna.
“Beta amat berkenan dengan tindakan serius Kerajaan Negeri demi memelihara hutan di Selangor dan mencegah sebarang bentuk aktiviti dan pencerobohan yang boleh mencemar alam sekitar di masa akan datang.
“Beta senantiasa mengambil berat tentang alam sekitar dan kelestarian HSK,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda menyarankan Kerajaan Negeri untuk terus menjayakan Program Tanam Pokok yang mampu menangani cabaran perubahan iklim, pemanasan global dan pelepasan karbon.