OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 9 MAC : Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mensasarkan pemulihan bekalan air akan bermula secara berperingkat, mulai tengah malam ini atau awal pagi esok.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi SYABAS, Abdul Raof Ahmad berkata, pemulihan bekalan akan berlangsung secara berperingkat bergantung pada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan.
“Kami ingin memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang dikendalikan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) sudah beroperasi dengan purata kapasiti 830 JLH.
“Proses pengepaman bekalan ke Kolam Imbangan Bukit Tadun sedang giat dilaksanakan dan seterusnya penyaluran bekalan sistem utama ke kolam perkhidmatan bagi proses pemulihan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Raof berkata, pusat panggilan mereka sedang menghadapi kemasukan jumlah panggilan yang sangat tinggi menjadi punca pelanggan terpaksa menunggu lama.
Sehubungan itu, beliau berkata, SYABAS memohon kerjasama pelanggan untuk berhubung atau mendapatkan maklumat melalui saluran www.syabas.com.my, Facebook Air Selangor dan aplikasi telefon pintar mySyabas.
Selain itu, aduan berkenaan bil tinggi perlu menghantar gambar bil air ke WhatsApp 019-2816793/019-2800919 atau e-mel [email protected].
Bagi bantuan bekalan air, pelanggan di kawasan berdekatan boleh mengunjungi Pusat Khidmat Setempat SYABAS di beberapa lokasi seperti berikut:
PETALING : USJ 4/5, USJ 4, Subang Jaya , Jalan 23, Taman Bukit Kuchai, Jalan Puchong (Ditutup sementara waktu bagi memberi laluan kepada Pasar Malam Mingguan dan akan kembali beroperasi pada 10/3/2018 jam 8.00pagi), Jalan SS 19/2, Subang Jaya, Taman Perindustrian Kinrara (Pemindahan sementara bagi menggantikan PKS Taman Bukit Kuchai)
KLANG/SHAH ALAM : Dewan MBSA Seksyen 27, Jalan Sg Gapis 27/71, Seksyen 27 Shah Alam, Perkarangan Masjid Sultan Abd Aziz, Persiaran Masjid Sultan, Kg. Perigi Nenas, Pulau Indah, Surau Al-Hidayah, Jalan Nagasari 36/9, Desa Latania Seksyen 36,
GOMBAK : Jalan 23/56, AU3 Keramat, KFC AEON Big Ampang
KUALA LUMPUR : Berhampiran Rapid KL (LRT Taman Dagang), Jalan Dagang 1, Taman Dagang