Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tindakan tahan tujuh individu kes tanah Ijok cemar imej Kerajaan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) melihat tindakan penahanan tujuh invidivu berkaitan kes tanah Ijok bertujuan mencemarkan imej Kerajaan Selangor serta bermotif politik.

Dalam kenyataan media, PAKATAN menyatakan rasa kesal dan menjelaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, melaksanakan tindakan penangkapan dan penahanan itu bagi melindungi kepentingan pihak atasan.

“Reputasi SPRM sudah tercemar dengan kegagalan untuk bertindak secara terperinci terhadap kes 1MDB iaitu kes berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta yang lain seperti FELDA.

“Tindakan sebegini akan terus merosakkan imej SPRM,” kata kenyataan bersama diberikan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan mantan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, di Parlimen di sini, semalam.

Katanya, empat daripada tujuh individu ditahan itu adalah anggota kumpulan perunding yang mempunyai kaitan dengan syarikat pemaju asal yang memulakan proses pembangunan projek berkaitan yang menimbulkan masalah dicipta Umno-BN, pada 1998.

Beliau berkata, laporan media arus perdana juga tidak bertepatan dengan keadaan sebenar apabila Kerajaan Selangor menjual kawasan Alam Perdana dan Alam Utama kepada pemaju.

“Kerajaan Selangor berjaya menyelesaikan sejumlah besar kes undang-undang dan tuntutan pampasan besar dalam perkara itu yang akhirnya berjaya memastikan peneroka dibayar pampasan seperti dijanjikan serta mendapat rumah bernilai kira-kira RM500,000 hari ini.

“Kerajaan Selangor juga mengembalikan tanah Alam Perdana seluas 1,000 hektar kepada pemiliknya,” katannya.

Katanya, ia jelas menafikan usaha Kerajaan Selangor yang berjaya membetulkan keadaan dan mengembalikan hak juga pampasan kepada pemilik tanah.

“Umno-BN yang timbulkan masalah kepada 1,000 peneroka pada 1998 apabila mengambil tanah dan memberikan kepada kroni mereka serta gagal untuk menunaikan janji.

“Kerajaan Selangor sudah menyelesaikan kes ini mengikut undang-undang dan mengembalikan keadilan kepada peneroka,” katanya.