OLEH NAZLI IBRAHIM
TAIPING, 4 MAC: Pemimpin Pakatan Harapan (Pakatan) tidak mengejar kedudukan sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kabinet tetapi yang lebih penting adalah untuk menyelamatkan negara.
Pengerusi Pakatan, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata, hal ini berikutan tindak tanduk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang banyak memberi kerosakkan kepada negara.
“Saya telah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, bukan sekejap dan begitu juga dengan pemimpin Pakatan Harapan yang lain bukanlah nak kejar jadi Menteri tetapi untuk menyelamatkan negara daripada terus dirosakkan Datuk Seri Najib,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Jelajah Harapan Perak di Kaki Bukit Jana di sini, malam tadi.
Jelasnya, rakyat harus bijak membuat pilihan dengan menolak Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.
Sebelum itu, Mahathir terpaksa menyampaikan ucapannya di hadapan ribuan penyokong Pakatan di atas kenderaan pacuan empat roda apabila dihalang berucap di atas pentas yang disediakan.
Bagaimanapun sekatan terbabit tidak menghalang pemimpin Pakatan meneruskan program seperti yang dirancang.
=EZY=