OLEH SABIRAH AZIZ
SHAH ALAM, 13 APR: Seramai 279 orang dari sembilan daerah menerima manfaat bantuan peralatan program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor 2018 dengan kos RM1.04 juta.
Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, program berkenaan adalah salah satu Inisiatif Peduli Rakyat bertujuan membantu menaikkan taraf ekonomi rakyat.
Katanya, Kuala Langat mencatatkan penerima tertinggi iaitu 59 orang, diikuti Hulu Selangor (45), Sepang (44), Sabak Bernam (41), Hulu Langat (28), Klang (19), Gombak (15), Petaling dan Kuala Selangor masing-masing 14.
“Dengan peruntukan tahunan RM2 juta, saya yakin program ini mampu memanfaatkan peniaga kecil di Selangor untuk meningkatkan pendapatan, seterusnya berupaya menaikkan taraf kehidupan ke tahap lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Merakyatkan Usahawan Kecil Blueprint Selangor 2018 di Ruang Legar Aeon Mall, di sini.
Ganabatirau berkata, melalui program itu, 3,652 orang menerima manfaat bantuan berbentuk mesin atau peralatan bagi tempoh sehingga 30 Mac lalu, membabitkan perbelanjaan RM11.28 juta sejak mula dilaksanakan, pada 2008.
Katanya, bantuan itu membolehkan rakyat melakukan anjakan paradigma dalam meningkatkan pendapatan untuk menyara diri dan keluarga masing-masing.
“Justeru, saya menyeru semua penerima manfaat akan menggunakan sebaik mungkin bantuan peralatan ini untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Dahalan Sulaiman, 62, dari Kuala Kubu Bharu berkata, bantuan berkenaan dapat meringankan bebannya yang kini membuat pekerjaan memotong rumput.
“Saya sudah bersara dan membuat pekerjaan ini bagi menampung keluarga, justeru bantuan ini sedikit sebanyak membantu melancarkan pekerjaan saya kerana harga mesin rumput mencecah kira-kira RM500.
“Diharapkan bantuan ini dapat diteruskan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya sambil menambah jumlah pendapatan diperolehinya hampir RM1,000 sebulan sahaja.