Categories
NASIONAL

Amalkan budaya politik bersih dan telus

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 14 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan pimpinan politik agar menjauhi amalan politik fitnah.

Beliau berkata, keperluan itu seiring titah DYMM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah agar pemimpin politik mengamalkan budaya politik bersih dan telus.

“Atas titah tuanku inilah yang mendorong saya untuk bekerja kuat memakmurkan Selangor dan mengenepikan amalan politik sempit dan fitnah.

“Walaupun saya diserang media setiap jam 8 malam, tetapi saya yakin rakyat dapat menilai segala kejayaan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Penyampaian Sumbangan Dato’ Menteri Besar di Dewan Pangsapuri Hijau, Taman Ukay Perdana, Ampang, pagi ini.

Mohamed Azmin berkata, wujud senario politik fitnah yang dimainkan pihak tertentu untuk memberikan gambaran buruk terhadap seteru politk masing-masing.

Malah, katanya pihak tertentu itu juga menggunakan media kawalan mereka bagi tujuan melemparkan perkara tidak benar terhadap kredbiliti pimpinan negeri Selangor, khususnya.

“Fitnah? Biar, kerana saya akan terus berdiri dan berani di hadapan rakyat Selangor kerana saya akan cuba sedaya upaya untuk menguruskan Selangor dengan jujur dan integriti,” katanya.

Terdahulu, media kawalan Umno sebelum ini dilihat banyak melaporkan perkara tidak benar terhadap pentadbiran Selangor.

Lebih memburukkan, laporan tidak benar itu terus mendapat liputan meluas media berkenaan ketika menjelang musim pilihan raya kini.

=EZY=