OLEH HAZIQ ISMAIL
BANGI, 19 APR: Aman Palestin menyasarkan dana RM20 Juta pada Ramadan ini untuk mendirikan Masjid Sheikh Ijlin dan Hospital pakar serta membantu keluarga miskin di Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut berkata, bagi pengumpulan dana, kempen Bulan Kemaraan Ummah dijalankan selama tiga bulan sebagai usaha menggerakkan rakyat Malaysia yang sebelum ini menyedari isu di Palestin dan Syria, tetapi tidak berani bersuara.
“Kami berharap dana dapat dikumpul dalam masa sebulan iaitu sepanjang Ramadan, masjid akan dibina secepat mungkin dan hospital dalam masa tiga tahun,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Aman Palestin, di sini semalam.
Memetik laporan Berita Harian, Awang Suffian berkata, Aman Palestin akan ke Syria dan Lubnan untuk misi bantuan pada awal Ramadan ini serta menghantar dana RM400 ribu untuk perkhemahan pelarian Palestin dan Syria di Lubnan.
“Sumbangan RM300 ribu pula diperuntukkan kepada wakil di Syria dan Palestin yang akan diserahkan menerusi pejabat Aman Palestin di sana.” katanya
Sementara itu, program Bulan Kemaraan Ummah adalah satu titik tolak bagi rakyat Malaysia menggesa kuasa penindas agar terus mengekalkan Palestin di tanah air mereka yang asal serta mempunyai semangat kuat menghulurkan bantuan khususnya dalam bentuk kewangan.
Antara pengisian kempen Bulan Kemaraan Ummah itu ialah Majlis Bersama Dermawan pada 1 Mei di Hotel Bangi Putrajaya, Roadshow Bersama Tokoh Palestin iaitu Dr Murawweh Muosanasar (5 Mei hingga 6 Jun) diikuti Majlis Iftar untuk Palestin (26 Mei) di Hotel Everly Putrajaya.