Categories
NASIONAL

Anwar seru rakyat bangkit tolak Umno-BN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 APR: Rakyat perlu bangkit menolak Umno-Barisan Nasional (BN) sekali gus memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) menerajui negara dan mengangkat martabat Malaysia.,

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat wajar bangkit menolak sebuah kerajaan yang penuh dengan rasuah dan kezaliman.

“Kita terdedah dengan kes rasuah seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiasat oleh lebih lima negara.

“Sungguh mengaibkan apabila nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diheret secara berterusan namun Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Parlimen membersihkan nama beliau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anwar berkata, belum pernah berlaku dalam sejarah, nama negara serta Perdana Menteri dicemarkan semua media utama antarabangsa seperti pernah diungkapkan The Economist sebagai “skandal terbesar yang melibatkan dana negara”.

Katanya, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, keputusan mahkamah Singapura, siasatan Jabatan Peguam Negara Switzerland terus mengaitkan nama Jho Low dan 1MDB adalah di bawah kelolaan Najib sendiri.

Manakala, Anwar berkata, isu lain pula adalah berkenaan skandal Felda sebuah lembaga yang dibanggakan sepatutnya menyelamatkan masyarakat desa daripada belenggu kemiskinan.

“Ia ekoran daripada wujudnya pengkhianatan sebelum ini dalam kalangan pemimpin dan pengurusan tertinggi Felda merompak harta peneroka.

“Namun, penyiasatan terpendam dan kerugian berbilion ringgit dana Felda cuba dipadamkan dengan hanya siasatan dalaman,” katanya.

Justeru, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelihatan tidak bersungguh dalam menyiasat kedua-dua kes berkenaan (1MDB dan Felda).

Sementara itu, Anwar berkata, manifesto yang dilancarkan BN meninggalkan isu paling utama yang mencengkam rakyat.

“Rakyat tertekan dengan kenaikan harga barang terutama pelaksanaan GST, pengangguran meningkat dan perumahaan rakyat terabai.

“Munasabahkah pemimpin BN berjanji lagi? Manifesto BN dengan sendirinya mempamerkan kegagalan mereka sendiri,” kata Anwar.

Anwar berkata, jika dirumuskan permasalahan diutarakan, kelemahan ketara adalah pengurusan kerajaan; kelemahan pemimpin dan kegagalan institusi pemerintahan di bawah pengendalian BN.

=EZY=