Categories
SUKANKINI

ARRC: Kasma cipta kejutan, catat masa keempat terpantas

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 APR: Pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayuddin mencatat masa keempat terpantas dalam sesi kelayakan SuperSports 600cc, pada pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Litar The Bend Motorsport Park, Australia, pada 20 April lalu.

Pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia itu kian serasi bersama jentera YZF-R6 dengan mencatat masa terbaik 1’56.736s, hanya 0.145s di belakang pelumba terpantas, Yuki Ito (Yamaha Racing Team Asean) yang mencatatkan 1’56.591s.

Pelumba gantian, Joseph Francis (WeBike Ikazuchi Racing) bakal bermula dari petak kedua setelah mencatat masa kedua terpantas, 1’56.690s diikuti Taiga Hada (Idemitsu Honda Racing India by T.Pro Ten10) ketiga (1’56.710s).

Catatan Kasma menyaksikannya muncul pelumba terpantas negara mengatasi rakan sepasukan, Mohd Ramdan Rosli yang akan memulakan perlumbaan dari petak ke-10 (1’57.459s) manakala juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) kelihatan bergelut untuk mendapat rentak terbaik apabila terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke 11 (1’57.509s).

“Berbanding pusingan pertama di Thailand, saya semakin memahami karakter jentera terutama dari segi suspensi dan penggunaan tayar yang banyak membantu saya, di sini.

“Bentuk litar ‘fasttrack’ juga memberi sedikit kelebihan kerana saya sukakan litar sebegini dan berharap dapat mencatat keputusan terbaik dalam perlumbaan,” kata Kasma.

Sementara itu, dalam saingan Asia Production 250cc, trio Astra Honda Racing Team, Rheza Danica Ahrens, Mario Suryo Aji dan Awhin Sanjaya menguasai barisan hadapan dengan Rheza bakal bermula dari petak pertama setelah mencatatkan masa terbaik 2’08.039s diikuti Mario di petak kedua (2’08.561s) dan Awhin ketiga (2:08.773s).

Pendahulu keseluruhan kelas Underbone 150cc, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team) terus mempamerkan aksi konsisten apabila bakal memulakan perlumbaan dari petak pertama setelah mencatat masa terpantas ketika sesi kelayakan Superpole dengan masa 2’18.857s diikuti pelumba Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) kedua (2:19.281s) dan Md Haziq Md FAIRUES (UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team) ketiga (2:19.643s).

Perlumbaan satu akan berlangsung pada hari Sabtu (21 April) manakala Perlumbaan dua pada Ahad (22 April).

KEPUTUSAN PUSINGAN KELAYAKAN

SS600

1 Yuki ITO (JPN) Yamaha Racing Team Asean 1:56.591s

2 Joseph FRANCIS (GBR) Webike Ikazuchi Racing 1:56.690s

3 Taiga HADA (JPN) Idemitsu Honda Racing India by T.Pro TenlO 1:56.710s

4 Kasma Daniel KASMAYUDIN (MAS) Hong Leong Yamaha Malaysia 1:56.736s

5 Tomoyoshi KOYAMA (JPN) Musashi Boon Siew Honda Racing 1:57.063s

AP250

1 Rheza Danica AHRENS (INA) Astra Honda Racing Team 2:08.039s

2 Mario Suryo AJI (INA) Astra Honda Racing Team 2:08.561s

3 Awhin SANJAYA (INA) Astra Honda Racing Team 2:08.773s

4 Rafid Topan SUCIPTO (INA) Yamaha Yamalube KYTTJM WR Super Battery 2:09.004s

5 Anupab SARMOON (THA) Yamaha Thailand Racing Team 2:09.041s

SUPERPOLE

Underbone 150cc

1 Md Helmi AZMAN (MAS) SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team 2:18.857s

2 Wahyu Aji TRILAKSANA (INA) Yamaha Racing Indonesia 2:19.281s

3 Md Haziq Md FAIRUES (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 2:19.643s

4 McKinley Kyle PAZ (PHI) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team 2:19.892s

5 Md Izzat ZAIDI (MAS) / RCB Yamaha YY Pang Racing 2:20.337s