Categories
NASIONAL

BERSIH dakwa ketidakadilan SPR terhadap calon PAKATAN

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 29 APR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menempelak tindakan berat sebelah terhadap calon Pakatan Harapan di beberapa kerusi semasa hari penamaan calon semalam.

Pemangku pengerusinya, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, ia permulaan teruk untuk PRU14 apabila calon dinafikan hak perlembagaan mereka untuk dicalonkan, manakala pengundi telah dinafikan hak untuk memilih calon secara wewenang dan salah oleh SPR.

Katanya, terdapat tiga kejadian ketika hari penamaan calon yang didapati melanggar pilihan raya bersih dan adil.

“Ia termasuk kehilangan kelayakan calon Parlimen Batu, Tian Chua, menghalang kemasukan calon Dun Rantau, Dr S Streram ke pusat penamaan calon dan ketelusan penamaan calon BN di Dun Ketari, Datuk Lau Hoi Keong.

“Bagi kes Tian Chua, SPR telah melangkau sempadannya apabila secara sewenang-wenangnya menolak pencalonan beliau.

“Atas dasar dan kuasa apa Pegawai Pengurus Parlimen Batu, Anwar Mohd Zain boleh membatalkan keputusan mahkamah? Keputusan sewenang-wenangnya Pegawai Pengurus dan SPR jelas tidak sesuai dengan undang-undang.

“Kuasa mutlak Pegawai Pengurus dalam menentukan penerimaan pencalonan mesti dikaji semula,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Shahrul Aman berkata, Pegawai Pengurus, SPR dan polis tidak sepatutnya menafikan kemasukan calon yang gagal mengemukakan pas dikeluarkan oleh SPR.

“Hak Perlembagaan untuk mana-mana warganegara dicalonkan harus ditegakkan melebihi formaliti teknikal. Pas SPR bukanlah keperluan undang-undang tetapi hanya prosedur pentadbiran oleh SPR.

“Bersih 2.0 juga mendapati peraturan ini tidak diguna pakai secara konsisten oleh SPR apabila calon di Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong dapat memasuki pusat penamaan walaupun tidak memiliki pas,” katanya.

Manakala, katanya, bagi kes Hoi Keong timbul persoalan apabila calon parti lain tidak dibenarkan memeriksa kad pengenalan beliau.

“Percubaan ini menolak hak calon untuk bertanding secara adil dan merupakan serangan terhadap demokrasi serta penghinaan terhadap hak untuk mengundi.

“Justeru, Pegawai Pengurus, SPR, polis dan dua pegawai Jabatan Pendaftaran Negara perlu menjawab peranan mereka dalam menguruskan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil terhadap 14 juta pengundi di Malaysia.

“Ini kerana, ketiga-tiga kes terbabit menunjukkan bahawa proses penamaan calon untuk pilihan raya di negara ini harus diubah sepenuhnya. Prosedur penamaan calon seharusnya melindungi hak-hak Perlembagaan rakyat untuk menjalankan pemilihan,” katanya.

=EZY=