OLEH NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 1 APRIL: Undang-undang baru digubal tidak semestinya mempunyai matlamat baik, sebaliknya terdapat agenda melindungi kepentingan kerajaan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, malahan terdapat undang-undang yang digubal jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan, seperti persempadanan semula.
“Begitu juga akta berita palsu, semata-mata untuk menutup ruang demokrasi dan suara rakyat,” katanya selepas merasmikan Pesta Buku Selangor 2018 kali Ke-13, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, semalam.
Katanya, undang-undang digubal dengan niat tidak baik terhadap rakyat tidak mampu menangani berita palsu.
Mohamed Azmin berkata, hanya ilmu dan keyakinan rakyat sahaja mampu menyelesaikan isu berita palsu yang dilambakkan, di media sosial dan media lain.
“Apabila seseorang itu berilmu, dia mempunyai keyakinan dan boleh mematahkan sebarang bentuk tohmahan, dakwaan atau berita palsu dengan tenang serta fakta seperti yang saya juga Exco buat dalam Dewan Negeri Selangor (DNS).
“Kita patahkan semua serangan musuh dengan tenang berdasarkan fakta, antaranya membawa pelan tanah Ijok supaya Utusan memahami tanah ini bukanlah satu tetapi tiga,” katanya.