OLEH SYAZWANI SUFIAN
SUBANG JAYA, 2 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil langkah mengenakan cagaran pengurusan sisa binaan bagi menangani masalah pelupusan sisa binaan tidak teratur yang semakin berleluasa.
Yand Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, langkah itu sebagai penambahbaikan sistem pengurusan sisa binaan bagi kerja pembinaan bangunan.
“Kita mengenakan cagaran pengurusan sisa binaan bagi semua permohonan kelulusan pelan bangunan membabitkan cadangan tambahan, ubah suai dan kerja meroboh bangunan, sejak 15 Mac lalu.
“Kadar bayaran ditetapkan mengikut kategori antaranya kediamanan rumah teres lot rendah dan ‘end lot’ dengan kadar cagaran RM500 dan kediaman bagi rumah teres lot tepi, berkembar, sesebuah, kluster juga banglo sebanyak RM1,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mesyuarat penuh MPSJ, baru-baru ini.
Sementara itu, bangunan komersil dan industri (teres) dikenakan cagaran RM2,000.
Manakala bangunan komersial dan industri (berkembar/sesebuah), pam minyak, kompleks perdagangan dan perniagaan, kemudahan awam dan institusi serta kerja meroboh, masing-masing dikenakan cagaran RM3,000.
Noraini berkata, bayaran cagaran itu akan dipulangkan kepada pemilik bangunan setelah perakuan Sijil Siap dan Pematuhan (Sijil CCC) diperoleh dengan syarat pemilik mengemukakan salinan resit ‘Tipping Fee’.
Katanya, salinan resit itu perlu diberi semasa mengemukakan permohonan CCC sebagai bukti sisa binaan dilupuskan di tempat yang dikhaskan.
“Jika pemilik gagal mematuhi keperluan ditetapkan, MPSJ akan mengambil cagaran terbabit,” katanya.