OLEH AFIX REDZUAN
PETALING JAYA, 17 APR: Empat calon anak muda yang akan mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) secara rasmi menandatangani Aku Janji Deklarasi Bersama Anak Muda sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap Deklarasi Kongres Anak Muda Malaysia 2017.
Mereka yang terlibat adalah calon Parlimen Paya Besar (Pahang), Asyraf Mustaqim Badrul Munir, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh (Johor), Sheikh Omar Ali, calon DUN Panchor (Kelantan), Hazmi Hassan dan calon DUN Ketari (Pahang), Young Syefura Othman.
Majlis menandatangani deklarasi itu disaksikan Presiden Liga Pemuda Malaysia, Adam Adli Abd Halim di Pejabat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).
Deklarasi Anak Muda Malaysia 2017 menggariskan 13 perkara yang diputuskan dalam satu Kongres Anak Muda Malaysia pada 13 dan 14 Mei tahun lalu.
Adam Adli dalam sidang media sama turut menyatakan Liga Pemuda Malaysia sedia menzahirkan sokongan kepada PAKATAN kerana menepati syarat sebagai pilihan alternatif buat rakyat memilih demi menewaskan Barisan Nasional.
“Liga Pemuda Malaysia mengalu-alukan pengumuman calon-calon anak muda oleh PAKATAN kerana ia penting bagi memastikan suara anak muda dapat diangkat, didengari seterusnya diambil kira dalam pembikinan polisi-polisi negara anak datang.
“Kita juga mengharapkan PAKATAN lebih berani menampilkan lebih ramai anak muda dalam PRU akan datang.
“Liga Pemuda Malaysia percaya PAKATAN memiliki ramai potensi baru dan muda yang boleh diketengahkan sebagai calon pilihanraya,” katanya.
Menerusi Deklarasi Bersama yang dipersetujui calon, Liga Pemuda Malaysia akan menggerakkan Jelajah Liga Pemuda secara berkala bagi membantu kempen di lapangan serta menyediakan sistem sokongan kempen digital untuk sebaran sepanjang PRU-14.
Liga Pemuda Malaysia juga akan menghantar sekurang-kurangnya dua petugas tetap bagi membantu calon di lapangan serta menyediakan sokongan kewangan menerusi pelancaran dana awam (MAYBANK -512745506143) dengan sasaran RM10,000 setiap calon.
=EZY=