Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Cipta gelombang Reformasi, Exco Selangor mahu tawan Kuala Lumpur

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 APR: Calon Parlimen P118 Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mahu membuktikan agenda reformasi dibawa pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) mampu direalisasikan di kawasan itu.

Nik Nazmi yang juga Exco Kerajaan Selangor itu berkata, perubahan pola pengundian penduduk Setiawangsa kepada PAKATAN mampu menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya terbaik, di rantau ini.

“Kepada pengundi-pengundi Setiawangsa, kawasan kita merupakan kawasan yang cantik dan majmuk. Tetapi saya percaya Setiawangsa boleh menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami dan membesarkan anak-anak.

“Saya mahu mendengar pandangan anda tentang bagaimana kita boleh menjadikan kawasan kita – selain Kuala Lumpur, bandaraya kita dan ibu negara Malaysia-sebuah tempat yang boleh kita banggakan.

“Selain itu, tanah air kita berhadapan pilihan penting tentang masa depan kita – antara kegagalan di bawah Najib Razak dan Barisan Nasional, dan masa depan yang mampu membawa negara dan rakyat ke hadapan dipimpin PAKATAN,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi diumum sebagai calon KEADILAN bagi kerusi Parlimen P118 oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada 23 April lalu.

Untuk rekod, Barisan Nasional tidak pernah tewas di kerusi berkenaan sepanjang tempoh pilihan raya lalu.

Bagaimanapun keputusan Pilihan Raya Umum 13 di kerusi berkenaan menyaksikan Barisan Nasional melalui penyandangnya Ahmad Fauzi Zahari menang tipis kepada calon KEADILAN, Ibrahim Yaacob dengan majoriti 1,390.

Nik Nazmi optimis rakyat di kawasan itu menuntut pelbagai pembaharuan baru demi Malaysia yang lebih baik dan maju.

“Barisan Nasional tidak pernah tewas di Setiawangsa. Tetapi saya percaya untuk menukar Kerajaan Persekutuan, kita perlu memenangi kerusi marginal seperti Setiawangsa dan saya menawarkan diri saya untuk tugas ini.

“Setiawangsa yang lebih baik dan Malaysia yang lebih adil dan makmur yang kita boleh banggakan boleh menjadi realiti, sekiranya kita mahukannya,” katanya.

=EZY=