Categories
NASIONAL

DAP setuju guna logo bersama pada PRU-14

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 APR: DAP bersetuju menggunakan satu logo yang dipersetujui bersama parti di dalam Pakatan Harapan (PAKATAN), pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penggunaan logo bersama itu akan diumumkan Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad di Johor Bahru, esok.

“Ini bukanlah keputusan mudah untuk DAP tetapi untuk kebaikan bersama PAKATAN, DAP bersetuju menggunakan satu logo bersama yang akan diumumkan Tun Dr Mahathir nanti,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun penggunaan logo bersama itu tidak melibatkan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, penggunaan logo parti masing-masing di Sabah dan Sarawak disebabkan keistimewaan kuasa autonomi yang dimilik Sabah dan Sarawak.

PAKATAN merupakan satu konsesus empat parti utama Semenanjung Malaysia iaitu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Sementara di Sabah, PAKATAN turut dianggotai Parti Warisan Sabah.