Categories
SASTERA

Di manakah herotnya sastera Sarawak?

Oleh Roslan Jomel

 Saya ditanya oleh teman penulis, ada apa dengan sastera Sarawak sekarang? Ribut dan spekulasi diperkata dari belakang. Herot sana herot sini. Pelbagai berita negatif sastera Sarawak sampai ke Semenanjung. Isu penganugerahan Sasterawan Negeri dan hal-hal lain bersangkut-paut dengan ketulusan sikap para pengarang itu sendiri. Adakah wujud sikap kronisme dalam sastera Sarawak? Mustahil.

Itu belum termasuk teks sastera Sarawak yang statik dengan tema seperti Bujang Senang, pembalakan, penindasan terhadap etnik di kawasan terpencil dan ritual kepercayaan sesuatu kaum. Kononnya unik dan berbeza daripada di Semenanjung. Sebegitu sempitkah cakerawala sasterawan Sarawak? Saya berasa rimas dengan perspektif lapuk itu. Ada kelompangan besar di situ. Bilangan penulis semakin bertambah.  Bagaimana dengan (kualiti) pengkritik sastera?

Melati Sarawak tulisan Muhamad Rakawi Yusuf dikatakan antara novel realisme terawal pengarang Sarawak. Terbitan tahun 1930-an. Bahkan disahkan karya tulen berbahasa Melayu tanpa unsur saduran oleh pengkaji sastera. Luar biasa. Novel beraliran realisme itu barangkali paling radikal menyorot aktiviti budaya komuniti Melayu di Kuching iaitu bermukun dan nopeng. Novel tulisan pemuda terpelajar yang nantinya  menerbitkan akhbar Fajar Sarawak. Nama sasterawan warga Kuching itu dikenang sebagai pencetus obor intelektual kepada pengarang-pengarang seterusnya.

Sekarang 2018, alangkah aneh sastera Sarawak masih disinonimkan dengan tema-tema yang sudah ditulis pada era mesin taip. Lebih mendukacitakan pembentang kertas kerja dalam seminar sastera kebangsaan dilekati nostalgia dengan merincikan hal-hal yang tampak eksotik dalam kajian mereka. Takrifan sastera lebih luas dan ruwet daripada persoalan-persoalan domestik kaum, etnik dan adat resam sesebuah negeri. Tidakkah peneliti sastera kebangsaan sedar betapa aliran gelombang baharu penulisan sastera Sarawak kontemporari telah mematah persepsi klise tentang sastera Sarawak? Sampai bila sastera Sarawak dirujuk dengan identiti sebegitu? Seolah-olah tiada pencapaian teknik penulisan di Sarawak.

Saya tidak percaya karya sastera wajib ditulis dengan tema-tema besar. Kualiti penulisan melepasi takrifan bentuk dan mesej. Mengikuti perkembangan sasterawan Sarawak generasi baharu, jelas mereka tidak lagi terkurung dengan naratif pengarang-pengarang sebelumnya. Kemunculan mereka menganalisis isu-isu kompleks dalam kehidupan semasa. Mereka mencipta dunia dan imaginasi dalam karya. Barisan penulis generasi baharu Sarawak tidak lagi terbeban mengangkut polemik pertembungan adat, budaya dan tradisi atas bahu mereka. Kehadiran penulis generasi baharu Sarawak yang bukan datang dari fundamental sastera, bakal menulis dengan canggih untuk membuktikan kredibiliti sastera mereka merentasi zaman.

Nama besar sasterawan Sarawak yang dipimpin oleh Awangku Merali Pangeran Mohamed menyelitkan pertukangan pascamoden dalam naratif melalui cerpen-cerpennya. Tidak dapat disangkal, Awangku Merali Pangeran Mohamed meninggikan aras standard penulisan cerpen di Sarawak dengan menggabungkan teknik naratif yang lebih moden, realis, padat dan tidak lagi dilapisi dekorasi bahasa. Kerja seni Awangku Merali Pangeran Mohamed yang terhimpun dalam buku kumpulan cerpennya, Cerita dari Sebuah Taman (DBP; 2001) dianggap komprehensif untuk mewakili intrik dalaman antara kaum peribumi dengan penceroboh yang memanipulasi setiap ceruk. Krisis warisan keluarga, nepotisme perniagaan, kebencian peribumi terhadap kolonial, psikologi mantan nasionalis dan pemimpin negara dinyanyukkan kuasa, dibentangkan satu persatu dalam cerita yang ditulis dengan laras bahasa tinggi. Sayangnya sasterawan perfectionist Sarawak itu tidak lagi produktif berkarya.

Apakah persoalan yang disentuh oleh penulis-penulis Sarawak terkemudian? Apakah karya-karya mereka belum layak dibicarakan dalam majlis sastera? Amatlah pelik melihat para pengkaji sastera dan pengkritik sastera seperti tenggelam dalam khayalan kegemilangan silam. Tidakkah pembentang makalah berasa malu kerana kerap mengagung-agungkan barisan pengarang terdahulu pada setiap kali seminar sastera dilangsungkan? Sebagai peminat sastera, saya bertanya-tanya, apakah barisan penulis silam itu masih relevan lagi dengan gelombang penulisan baharu? Apakah mereka masih konsisten menyumbangkan idea dan pandangan tentang pergolakan dunia masa kini dalam bentuk esei atau karya sastera?

Para penulis generasi baharu Sarawak perlukan sentuhan kritikan dan respons yang jujur dan ilmiah. Sebaliknya ia masih belum dinilai secara mendalam.  Pujian melulu hanyalah racun kepada sasterawan. Apakah cukup dengan membuka ruang menulis dan mengiktiraf bakat kreatif melalui hadiah tahunan? Saya berharap penulis-penulis generasi baharu berfikir lebih jauh ke hadapan. Mentaliti mereka perlu dikemas kini seiring dengan aliran informasi tentang sastera dunia. Sastera Sarawak tidak bakal berkembang andai diparasitkan oleh tarikan populariti, ego setempat, hadiah dan melenakan diri dengan glorifikasi silam. Inilah masa para penulis baharu mengambil tempat yang dibiarkan berlumut oleh penulis-penulis sebelumnya dengan meneroka tema dan sudut baharu dengan peranti moden.

Atmosfera para pengarang Sarawak bervariasi. Misalnya Abizai berkhidmat di sektor perbankan, Lokman Hakim dengan latar belakang kejuruteraan, Frankie Latit dalam urusan perubatan, Karl Agan seniman serba boleh dan beberapa lagi penulis  muda berbakat. Milieu diserapkan dalam naratif mereka melangkaui masa depan. Tingkap sastera mereka dibuka dengan luas, kosmopolitan dan lebih bersifat individual. Sastera sama rumitnya dengan fabrik kemanusiaan. Pengkaryaan eksperimental sasterawan generasi baharu adalah suatu ekspresi penentangan. Begitulah caranya mencabar stereotaip sastera sebelumnya.

Maka, pengkritik sastera wajar menerima kerja penulisan mereka yang menerobos sempadan kreativiti. Robohkan persepsi dahulu. Landskap persuratan Sarawak tidak sesempit tanggapan sarjana sastera Malaysia atau pembentang makalah yang khuatirkan status quo mereka. Jernihkan jiwa. Sebagaimana kata Saut Situmorang, kita menolak politik kekuasaan demi kepentingan ideologi yang dijadikan alasan mengetepikan kualiti penulisan.