OLEH HAFIZAN TAIB
PADANG SERAI, 21 APR: Tanggapan umum hanya Umno-Barisan Nasional (BN) berkemampuan mentadbir Kerajaan Negeri dan Persekutuan, telah berubah apabila Pakatan Harapan (PAKATAN) membuktikan sebaliknya.
Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kejayaan PAKATAN mentadbir Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang dengan penuh berintegriti dan telus membuktikannya serta menjadikan kedua negeri itu menikmati kemajuan lebih baik.
“Kalau sebelum ini mitos dicanangkan dalam televisyen dan media massa hanya Umno-BN yang boleh perintah negara dan negeri di Malaysia ini.
“Sekiranya tiada Umno-BN habislah orang Melayu, tiada Umno-BN tiada pembangunan, tiada Umno-BN kita akan kembali ke zaman Jepun makan ubi kayu.
“Saya nak beritahu di Selangor dah tiada, dah sepuluh tahun kami hantar Umno-BN ke dalam Muzium Negara dan bila Umno-BN tiada, orang Melayu, India dan Cina selamat malah dalam tempoh itu lebih baik berbanding 50 tahun di bawah Umno-BN. Jangan percaya dengan cerita dongeng ini,” ,” katanya dalam Ceramah Perdana Gelombang Biru Muda di Tapak Pasar Malam, Labu Besar di sini, malam tadi.
Ceramah itu adalah salah satu program dalam siri Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi mendekati rakyat menjelang pilihan raya umum ke 14 (PRU14).
Naib Presiden PAKATAN itu berkata, kejayaan diraih Selangor dan Pulau Pinang menimbulkan iri hati kepada pimpinan Umno-BN hingga sering dijadikan sasaran dengan laporan berita negatif.
“Selangor diserang setiap hari jam 8 malam (berita televisyen). Malaysia ada 14 negeri tetapi semenjak dua bulan ini hanya tinggal dua negeri sahaja, Selangor dan Pulau Pinang…mana negeri yang lain.
“Yang diserang Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, PAKATAN dianggotai KEADILAN, BERSATU, AMANAH dan DAP kini semakin kukuh apabila mencapai kesepakatan menggunakan satu logo iaitu KEADILAN dalam PRU14).
Keadaan itu, katanya, bakal menggugat Umno-BN kerana hanya dengan penyatuan sebegitu mampu menjatuhkan kerajaan Persekutuan dipimpin parti itu.
=EZY=