OLEH NORHAYATI UMOR
KUALA LANGAT, 20 APR: Pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang kini diikuti negeri lain disambut baik Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali nyata gembira apabila insiatif itu terbukti berkesan memenuhi aspirasi rakyat Selangor.
Malah, katanya, dasar yang digubal itu membuktikan program IPR dialukan rakyat, sekali gus mengangkat kerajaan peduli rakyat.
“Saya gembira kerana program ini berjaya dilaksanakan dan banyak negeri lain akan ikuti jejak langkah dasar ini.
“Kerajaan Negeri menggubal dasar dan program dengan mendalam supaya setiap dasar perlu mematuhi aspirasi rakyat.
“Kalau semua negeri ikut, Putrajaya pun nak ikut, lebih baik Kerajaan Negeri ke Putrajaya,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh penduduk dan kakitangan kerajaan, di sini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah dan Inisiatif Peduli Rakyat, di Dewan Kompleks Sukan Majlis Daerah Kuala Langat.
Mohamed Azmin berkata, menjadi tanggungjawab pihaknya dan pimpinan memastikan khazanah negara dipulangkan kembali kepada rakyat.
Katanya, selaras tema ‘Selangor Masa Depan Malaysia’, Kerajaan Negeri berjaya mentadbir negeri itu dengan baik, berintegriti dan berwibawa serta bebas rasuah.
“Kita mahu pimpinan yang berwibawa ini, yang menyantuni rakyat, jadi pertahankan Kerajaan Negeri dengan sokongan lebih besar,” katanya.
Terdahulu, KISS adalah inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memberdaya golongan wanita dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk mereka membeli barang keperluan.
Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.