Categories
NASIONAL

Jadikan Najib sebagai PM terakhir Umno-BN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 APR: Rakyat digesa untuk berani membuat perubahan dengan terus mengundi calon PAKATAN sekali gus menolak Barisan Nasional (BN) bagi memastikan era Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri berakhir.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin berkata, semasa Najib mengambil tampuk pemerintahan negara, rakyat meletakkan harapan tinggi kepada beliau berlakunya perubahan positif.

“Apabila ISA dihapuskan ramai bersorak tanpa mengetahui bahawa ia diganti dengan SOSMA dan terkini Akta Berita Palsu pula diwujudkan bagi mengekang kebebasan bersuara rakyat Malaysia,” katanya.

Zuraida berkata, 4 April merupakan tarikh keramat penubuhan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) demi kelangsungan perjuangan menentang kezaliman dan menyeru kepada reformasi pentadbiran negara.

“19 tahun berlalu, bermacam perkara dihadapi parti ini dan kini sudah terbukti ia masih lagi utuh dan semangat perjuangan bagi menentang kezaliman BN tetap akan diteruskan.

“KEADILAN akan terus berusaha memastikan nasib dan hak rakyat Malaysia dibela,” katanya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, orang ramai kini sudah tidak boleh menyuarakan pendapat dengan bebas malah ketidakadilan itu perlu dibalas.

“Rakyat tidak bodoh dan langkah dibuat Najib untuk menyekat pengkritik beliau terutamanya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bukan sahaja sibuk diperkatakan media tempatan tetapi juga media antarabangsa,” katanya.

=EZY=