OLEH ERMIZI MUHAMAD
AMPANG, 27 APR : Penggunaan logo KEADILAN disifatkan relevan merangkumi penyatuan komponen Pakatan Harapan (PAKATAN) di seluruh negara, kata Ketua Wanita Gabungan itu, Zuraida Kamarudin.
Justeru katanya, rakyat diingatkan supaya tidak tersilap memilih parti lain yang bertentangan dengan dasar reformasi kebajikan negara.
Katanya, ia termasuklah komponen yang tidak lagi sehaluan bersama gabungan itu.
“Sekarang kita sudah ada satu bendera untuk semua. Adil untuk semua, dan KEADILAN untuk kita.
“Pengundi jangan salah pangkah. Jangan pangkah calon lain, jangan pangkah bendera lain. Pilih biru muda, pilih KEADILAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Springville sempena Nisfu Sya’ban dan awal Ramadhan di, Bukit Antarabangsa, malam tadi.
Pada 6 April lalu, PAKATAN secara rasmi mengumumkan penggunaan satu logo dan simbol, KEADILAN bagi menghadapi PRU14.
Pengumuman itu dibuat Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada siri kemuncak Jelajah Pakatan Harapan di Pasir Gudang, Johor.
PAKATAN dibentuk di bawah gabungan KEADILAN, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).