OLEH ERMIZI MUHAMAD
GOMBAK, 15 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyarankan agar masyarakat tidak terpengaruh dengan ‘umpan’ undi yang dilakukan pihak tertentu.
Beliau berkata, ia termasuklah pemberian kain pelikat dan pelbagai sumbangan lain bagi meraih undi penduduk tempatan pada pilihan raya depan.
“Bila kita berucap, sambutannya cukup meriah. Tapi janganlah bila dapat kain pelikat (dari pihak sana), lain pula jadinya,” seloroh Mohamed Azmin ketika berucap pada satu majlis di Gombak, semalam.
Dilaporkan, pentadbiran Umno Barisan Nasional sering memberikan ‘umpan’ pilihan raya berbentuk keperluan dan kelengkapan harian masyarakat.
Ia disifatkan umum sebagai pemberian ‘dedak’ Umno untuk terus meraih kepercayaan dan populariti undi sepanjang tempoh berkempen pilihan raya.
Lebih memalukan, pemberian ‘dedak’ berkenaan turut disertakan dengan logo-logo parti komponen Barisan Nasional dan wajah calon-calon mereka yang bertanding.
Namun, senario sebaliknya berlaku membabitkan kepimpinan Pakatan dan calon-calonnya sepanjang tempoh berkempen.
Mohamed Azmin berkata, pimpinan Pakatan khususnya di Selangor komited mengadakan program turun padang saban minggu, bagi mendengar sendiri sebarang masalah yang dihadapi rakyat.
“Sudah menjadi amalan bila menjelang pilihan raya, kerap kali akan ada pertemuan antara pemimpin politik dan rakyat.
“Namun, ini bukan amalan lazim pentadbiran Kerajaan Selangor kerana pertemuan ini sudah banyak dibuat sebagai agenda mingguan kami sejak saya diberikan tugas sebagai Dato’ Menteri Besar.
“Setiap minggu, pegawai tinggi Kerajaan Selangor turun padang selaras prinsip kami untuk mendengar, menyelami serta menyantuni perasaan rakyat.
“Seterusnya program turun padang kami dilaksanakan bagi kami mendapatkan gambaran sebenar terhadap keperluan rakyat untuk menggubal dasar yang boleh memenuhi aspirasi rakyat,” katanya.
=EZY=