Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Kemudahan sekolah agama bagi OKU perlu diwujudkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 APR: Sudah sampai masanya Selangor memiliki sekolah agama khusus untuk memudahkan golongan orang kelainan upaya (OKU) mendapatkan pendidikan agama.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, berkata Kerajaan Negeri juga perlu melatih guru-guru agama berbahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan golongan itu.

“Ini adalah cabaran kita untuk mengajar mereka yang buta, pekak dan lain-lain. Persatuan yang ada amat terhad kerana mereka ada masalah pengangkutan membawa mereka ke tempat belajar dan lain-lain masalah.

“Di peringkat JAIS atau MAIS kita perlu menubuhkan sekolah-sekolah seperti Sekolah KAFA atau sekolah fardhu ain khusus untuk mereka kerana kalau kita beri peluang, mereka ini ada bakat dan kelebihan mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Organisasi Bukan Kerajaan Islam (NGO-i) Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Bil 1/2018 di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pagi tadi.

Jelasnya, selain sekolah agama khas untuk OKU, sekolah agama di Selangor juga boleh mewujudkan kelas khas untuk golongan OKU di dalam sekolah agama biasa.

Katanya, sama seperti masyarakat biasa, golongan OKU juga memerlukan pendidikan agama.

“Masalah dihadapi mereka ini adalah kekurangan bantuan untuk memastikan setiap mereka ini diberi peluang mendapat pelajaran sebetulnya walaupun mereka cacat fizikalnya tetapi mereka ada kewajipan untuk sembahyang,” katanya.

=EZY=