OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 7 APR: Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) bakal diperluaskan ke seluruh negara jika Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya mentadbir Putrajaya.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, KISS akan turut dirasai seluruh rakyat Malaysia jika PAKATAN memenangi Pilihan Raya Umun ke-14 (PRU14) akan datang.
“Daripada melaksanakan Baucer Rakyat 1 Malaysia (BR1M) seperti yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih baik kita berikan mereka KISS.
“KISS merupakan insentif yang sangat membantu rakyat kerana penerima (wanita) diberikan RM200 setiap bulan berbanding pemberian BR1M hanya ada masa tertentu sahaja,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.
Daroyah berkata, walaupun KISS diberikan kepada golongan wanita namun ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban golongan suami mahu pun bapa.
“Saya yakin ia amat membantu kerana RM200 untuk membeli barangan keperluan setiap bulan itu adalah satu nilai yang mencukupi.
“Pada masa sama, ia dapat menghilangkan tekanan pasangan suami isteri akibat kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini,” katanya.
Terdahulu, program KISS adalah inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memberdaya golongan wanita dengan pemberian RM2,400 setahun atau RM200 sebulan untuk mereka membeli barang keperluan.
Peserta KISS akan mendapat bekalan makanan asas, peralatan juga pakaian sekolah untuk anak di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.
Skim berkenaan terbuka kepada rakyat Selangor atau mereka yang menetap melebihi 10 tahun dan merupakan pemilih berdaftar, di Selangor.
Ia juga terbuka wanita berkeluarga atau ibu tunggal yang mempunyai anak atau tanggungan di bawah umur 21 tahun.
=EZY=