Categories
PBT SELANGOR

Kolam renang Kompleks Sukan Pandamaran dibuka sementara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAN, 2 APR: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan membuka sementara kolam renang di Kompleks Sukan Pandamaran, selewat-lewatnya Sabtu ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, hal itu kerana terdapat banyak permintaan daripada orang awam yang mahu menggunakan kemudahan terbabit.

“MPK menyerahkan pengurusan kolam ini kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, bagaimanapun terdapat beberapa lagi perjanjian yang belum ditandatangani.

“Oleh itu, MPK mengambil inisiatif membukanya terlebih dahulu kerana terdapat permintaan daripada orang ramai,” katanya.

Mohamad Yasid berkata, MPK akan menghantar beberapa petugas di kompleks itu dan mengingatkan pengunjung supaya berwaspada semasa berada di dalam kolam renang terbabit.

“Bagi ibu bapa yang membawa anak kecil, kita berharap mereka sentiasa mengawasi keselamatan anak masing-masing,” katanya.

Terdahulu, kompleks kolam renang berkenaan ditutup kepada orang ramai sejak 2016 bagi menaik taraf kemudahan di situ.

MPK memperuntukkan RM1 juta bagi kerja menaik taraf itu dan menyerahkan kepada MSN Selangor untuk menyelianya.