Categories
SELANGOR SUKANKINI

MB: Stadium MPAJ wujudkan pelancongan sukan, platform cungkil bakat

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 8 APR: Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), mampu merancakkan lagi sektor pelancongan sukan di Selangor khasnya di kawasan pentadbiran MPAJ sendiri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini kerana stadium bernilai RM23 juta itu memiliki kemudahan serba canggih yang mampu menarik minat pelbagai pihak menganjurkan pertandingan di stadium itu.

“Saya percaya kemudahan yang ada ini dapat menarik minat pelbagai pihak untuk menganjurkan pelbagai aktiviti sukan di dalam stadium dan akhirnya kawasan ini akan menjadi tumpuan pelancong sukan di Daerah Ampang dan MPAJ.

“Saya juga percaya dengan aktiviti ini dapat merancakkan lagi mencipta peluang pekerjaan dan pulangan ekonomi kepada negeri dan rakyat di kawasan ini,” katanya pada Majlis Perasmian Stadium Mini MPAJ di sini, hari ini.

Jelasnya, kerancakan aktiviti sukan ini juga akhirnya akan melahirkan bakat sukan baru yang boleh diketengahkan di kalangan generasi muda.

Katanya, stadium yang siap awal pada bulan April itu juga menjadi satu lagi platform terbaik untuk masyarakat tempatan mengukuhkan perpaduan dan keharmonian sesama mereka.

“Kita juga maklum aktiviti sukan adalah aktiviti yang dapat menjalin hubungan baik di antara rakyat negara ini tanpa mengira kaum agama dan latar belakang, aktiviti sukan mampu memperkukuhkan perpaduan rakyat dan keharmonian kita dalam Selangor ini,” katanya.

Sementara itu, pada majlis yang dihadiri lebih 6,000 hadirin itu turut dihadiri Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari dan Ahli Dewan Negeri (ADN) di Parlimen Ampang.