OLEH HAZIQ ISMAIL
SHAH ALAM, 2 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melalui Jabatan Landskap mempelawa golongan asnaf, khususnya ibu tunggal memohon kerja pembersihan dan pencucian tandas awam, di Taman Tasik Shah Alam bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, ia adalah usaha murni MBSA membantu golongan kurang berkemampuan mengharungi kehidupan mencabar, pada masa ini.
Katanya, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan prihatin terhadap permasalahan masyarakat, usaha itu sebahagian daripada inisiatif MBSA mengurangkan masalah kemiskinan bandar, di Shah Alam.
“Orang ramai yang ingin memohon kerja ini perlu mematuhi syarat ditetapkan antaranya pemohon perlu tinggal di kawasan pentadbiran MBSA dan berumur dalam lingkungan 30 hingga 60 tahun serta syarat lain ditetapkan.
“Pemohon yang berjaya juga perlu mematuhi syarat lain antaranya tidak boleh menyewakan tawaran kerja pembersihan dan pencucian tandas awam ini kepada pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan.
Shahrin berkata, orang ramai yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di Jabatan Landskap, Tingkat 7 (Lif A), Bangunan Wisma MBSA, sebelum atau pada 10 April ini.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut hubungi Khairunnisa Mohd Zaini, Arkitek Landskap, Jabatan Landskap MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1498.