OLEH ZAREEF MUZAMMIL
SHAH ALAM, 2 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memperkenalkan skim insentif dalam bentuk rebat cukai taksiran kepada pemilik kediaman yang mengamalkan ‘Gaya Hidup Rendah Karbon’.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pelaksanaan inisiatif bermula 15 April itu bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup rendah karbon.
Katanya, ia juga selaras matlamat disasarkan dalam Pelan Tindakan Rendah Karbon untuk memastikan tahap pencapaian pengurangan karbon lebih tiga peratus dalam tempoh setahun.
“Sebanyak enam kriteria diambil kira dalam skim ini yang merangkumi Sumber Tenaga, Sumber Air, Pengurusan Sisa Pepejal, Pengangkutan, Alam Sekitar dan Alam Bina.
“Selain itu, skim ini dibuka kepada pemilik dan penyewa semua jenis kediaman seperti rumah sesebuah, berkembar, teres, rumah pangsa, kondominium serta pangsapuri.
“Pemohon juga perlu menjelaskan bayaran cukai taksiran untuk tempoh setahun,” katanya dalam kenyataan.