OLEH NAZLI IBRAHIM
AMPANG, 8 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menempa sejarah tersendiri apabila berjaya memiliki stadium mininya sendiri selepas 25 tahun penubuhannya.
Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, stadium mini dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan MPAJ sendiri dengan peruntukan RM23 juta.
“MPAJ adalah pihak berkuasa tempatan (PBT), terakhir di Selangor memiliki stadium sendiri setelah 25 tahun penubuhannya.
“Pembinaan stadium ini dimulakan pada penghujung tahun 2015 dan siap pada bulan April ini dan dibina di atas tanah seluas 5.87 ekar dengan kapasiti 1,050 tempat duduk sahaja,” katanya pada Majlis Perasmian Stadium MPAJ 2018 di Pandan Perdana di sini, hari ini.
Jelasnya, pembinaan stadium ini melengkapkan lagi keperluan tempat bersukan atau beriadah untuk penduduk di kawasan pentadbiran MPAJ.
Katanya, stadium itu jelas mendapat sambutan menggalakkan masyarakat setempat apabila awal-awal lagi sudah mendapat tempahan sewaan daripada pelbagai pihak untuk menggunakan stadium terbabit untuk acara sukan.
Katanya lagi, stadium mini itu juga mampu menjadi platform masyarakat di situ mengukuhkan perpaduan melalui aktiviti sukan diadakan.
“Ini adalah komitmen MPAJ untuk menjadikan Ampang Jaya sebagai satu kawasan yang harmoni, selesa untuk didiami,” katanya.
=EZY=