Categories
SELANGOR

MPSJ anjur seminar galak pengurusan sistematik di bazar ramadan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PUCHONG, 19 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Karnival Seminar Bazar Ramadan Mampan MPSJ 2018 bagi memberi pendedahan pengurusan yang lebih sistematik ketika berniaga di tapak bazar.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, seminar tiga hari itu melibatkan 1,375 peniaga bagi 15 lokasi tapak bazar.

“Peniaga didedahkan dengan cara pengurusan permohonan bazar yang boleh dibuat secara atas talian sehingga pengurusan di tapak bazar.

“Peniaga juga didedahkan inisiatif penggunaan ‘cashless society’ dimana penggunaan Maybank QRPAY akan digunakan sebagai salah satu cara pembayaran pembelian di bazar.

“Kita juga melaksanakan kempen Bebas Beg Plastik, Bawa Bekas Makanan Sendiri sebagai saranan untuk tidak menggunakan polisterina atau styrofoam semasa urusniaga,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar bazar Radaman di Dewan Serbaguna MPSJ Taman Puchong Indah, pagi tadi.

Noraini berkata, pihaknya juga meneruskan pelaksanaan Kitar Semula Minyak Masak Terpakai dengan menyediakan tong di lokasi.

Pada masa sama, Noraini berkata, MPSJ mengadakan kolaboratif strategik bersama beberapa syarikat korporat seperti Shinsegae Mamee Sdn Bhd, Marigold, Maybank SME Banking serta KPMC Puchong Specialist Centre.

“Peniaga boleh terus dapatkan suntikan Anti-Tifoid dengan harga lebih murah dari KPMC dan ia adalah salah satu syarat wajib yang perlu dipenuhi untuk memohon permit bazar ramadan.

“Selain itu, Shinsegae Mamee menaja program sepanjang tiga hari ini yang bernilai RM150,000 termasuk mengadakan sesi Demonstrasi Masakan dari Chef Selebriti iaitu Chef Ismail dan Chef Faizul.

“Manakala syarikat Marigold juga berhasrat membantu peniaga kecil dengan menawarkan susu pada harga borong supaya dapat mengurangkan kos pembelian, namun dapat menjual produk berkualiti kepada pembeli,” katanya.