Categories
NASIONAL

Najib ‘bankrap’ hujah politik – Teng Chang Khim

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 APR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak sudah kebankrapan hujah politik sehingga sanggup mengatakan DAP memperkudakan Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Mahathir mempunyai standard yang begitu tinggi sehingga tidak boleh diperkudakan sesiapapun.

“Memang tidak masuk akal jika Najib mendakwa DAP memperkudakan Tun M, ini kerana UMNO sendiri tidak dapat mengawal atau mempergunakan Tun Mahathir, beliau tidak mudah kerana berkaliber tinggi.

“Nampaknya Najib sudah takut kerana dia melihat sokongan Melayu bukan padanya lagi, sebaliknya Tun Mahathir masih mempunyai sokongan kuat walaupun sudah tidak bergelar Perdana Menteri,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, Najib melalui akaun twitternya berkata, Mahathir diperkudakan DAP untuk memecah belah undi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14).

“Ia menampakkan seolah-olah DAP baik terhadap masyarakat Melayu. Hakikatnya, mana ada? DAP ini baik ke kepada Melayu, kepada Islam? Dr Mahathir sendiri cakap DAP anti Melayu dan anti Islam #CakapTakSerupaBikin, ” tulis Najib menerusi catatan yang turut dimuat naik melalui laman facebook peribadinya itu.

Chang Khim berkata, tindakan Najib itu menampakkan bahawa beliau bukanlah pemimpin berjiwa besar sehingga gagal menonjolkan diri sebagai seorang pemimpin disegani.

“Najib sanggup menakutkan bangsanya sendiri dengan memainkan politik perkauman, ini isu lapuk.

“Berbanding Tun M, beliau adalah pemimpin disegani semua bangsa, Najib tidak sepertinya,” katanya.