Categories
NASIONAL

Netizen sindir Najib, puji ‘caretaker’ Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 APR: Pengguna media sosial menyifatkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali disifatkan lebih sensitif terhadap gelaran dan kedudukannya berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia bermula apabila Mohamed Azmin menukar status profil di laman media sosialnya dengan perkataan ‘caretaker’ ketika pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diumumkan, awal minggu ini.

Pada laman media sosial Mohamed Azmin, istilah ‘caretaker’ Dato’ Menteri Besar Selangor digunakan sebagai merujuk kepada gelaran ‘penjaga sementara’ kedudukannya sebagai Menteri Besar ketika pembubaran Dewan Negeri berkuatkuasa, 9 April lalu.

Bagaimanapun sebaliknya di laman media sosial Najib, yang sehingga kini masih menggunakan istilah Perdana Menteri sebagai merujuk jawatan terkini beliau ketika pembubaran Parlimen berkuasa Sabtu.

Senario kedua-dua situasi itu mengundang maklum balas pantas pengguna media sosial Twitter, Jay Jay Denis yang menampilkan keratan profil Facebook dan Twitter, kedua-dua pemimpin itu.

“Di Selangor, @AzminAli sekarang bergelar ‘Caretaker’ Menteri Besar Selangor.

“Sampai kini, @NajibRazak masih lagi berpegang kepada gelaran Perdana Menteri,” sindirnya.

Catatan itu turut diulang siar Retweet daripada Mohamed Azmin di Twitter.

Berdasarkan semakan SelangorKini, Perkara 43 Perlembagaan menetapkan jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seorang yang menjadi Ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik memangku jawatan sedia ada.

Tetapi tidak boleh terus memegang jawatannya selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru.