OLEH SHEEDA FATHIL
KLANG, 28 APR: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.46 Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menyifatkan bahawa isu persempadanan semula adalah cabaran besar namun bukan menghalang beliau untuk memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.
Azmizam berkata, persempadanan semula yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menghalang untuknya terus menggerakkan jentera kempen supaya lebih agresif serta dapat menawan hati pengundi memilih Pakatan Harapan (PAKATAN).
“DUN N.46 adalah kerusi dimenangi parti KEADILAN selama dua penggal berturut-turut namun kali ini saingan cukup sengit apabila persempadanan semula menjadikan banyak kawasan mengundi kita sudah dikeluarkan.
“Bagaimanapun, beberapa perancangan semasa berkempen sudah dirangka di mana ia lebih menjurus kepada bertemu rakyat di kawasan luar bandar dan pinggir bandar,” katanya.
Azmizam berkata, di DUN Pelabuhan Klang menyaksikan peratusan undi Melayu majoriti iaitu 65 peratus berbanding bukan Melayu adalah 35 peratus.
“Sejak memegang tugas sebagai Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, saya lihat tanggapan Umno-Barisan Nasional (BN) bahawa orang Melayu akan terus menyokong mereka itu kini sama sekali salah dan ternyata kaum itu sendiri sudah beralih arah.
“Banyak perubahan berlaku apabila saya sendiri diberi peluang oleh masyarakat di sini bersama menjalankan aktiviti beramah mesra dan mereka mula menerima serta memahami dasar PAKATAN,” katanya.
Beliau mengulas mengenai beberapa kawasan sukar seperti Teluk Gong, Pulau Indah dan Kampung Idaman yang sudah mula menerima dasar digunakan PAKATAN.
Pada masa sama, beliau berharap perubahan yang besar bakal berlaku pada 9 Mei akan datang.
Terdahulu, DUN Pelabuhan Klang (N.46) bakal menyaksikan pertandingan sengit empat penjuru antara calon PAS, BN ,Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan KEADILAN.
Pada penamaan calon PRU14, calon KEADILAN Azmizam Zaman Huri akan dicabar oleh Khalid Nayan (PAS), Sheikh Rajesh Sheikh Ahmad (BN) dan Shanmugasundram Veenapan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
=EZY=