OLEH ZAREEF MUZAMMIL
SHAH ALAM, 20 APR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima peruntukan RM100,000 daripada Kerajaan Negeri bagi memperkasa penganjuran program badan terbabit bermula dari peringkat akar umbi.
Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Amirudin Shari berkata, inisiatif berterusan itu sekali gus mampu mewujudkan kerjasama antara NGO dengan entiti berkaitan untuk membangunkan pertubuhan berkenaan.
Katanya, selain mengupayakan pembabitan masyarakat dalam aktiviti organisasi, pelaksanaan aktiviti juga dapat digerakkan dengan lancar seiring pelan program dirangka.
“Walaupun ia bukan satu jumlah besar, namun saya percaya peruntukan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan menggalas peranan yang harus dilaksanakan NGO.
“Hal ini bertepatan dengan iltizam Kerajaan Negeri bagi memenuhi segala keperluan dan kehendak semua kelompok individu serta masyarakat ke arah meningkatkan pembangunan segenap sudut.
“Selain itu, kita juga mahu fokus terhadap pelan keseimbangan seterusnya mengaplikasi dasar kerajaan demi menjamin pembangunan lebih berkualiti, termasuk program pembangunan ekonomi, sahsiah, kebudayaan ritual, keagamaan serta sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek NGO di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, di Kelab Diraja Shah Alam, di sini, semalam.
Pada masa sama, Amirudin berkata, sebanyak 36 menerima sumbangan replika cek sebagai tanda sokongan terhadap badan yang dilihat mampu berdaya saing ke peringkat lebih tinggi.
“Ia termasuk empat pertubuhan khas untuk program komuniti India dan program kebudayaan,” katanya.
Bagaimanapun Amirudin menegaskan, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada perancangan rapi Kerajaan Negeri yang komprehensif dan bukan program khas dijelmakan, sempena 9 Mei 2018.
9 Mei merujuk kepada hari proses membuang undi rakyat Malaysia bagi menentukan mandat baru pentadbiran Putrajaya.