Categories
SELANGOR

Peruntukan tambahan RM740,000 untuk masyarakat Sikh

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 15 APR: Dalam usaha memperkasa tradisi dan adat, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM740,000 bagi program keagamaan komuniti Sikh di Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu sekali gus dapat membantu membiayai dana aktiviti sosial serta kebudayaan dalam kalangan penganut Sikh.

“Sekurang-kurangnya, menerusi kemudahan ini, Gurdwara sedia ada dapat diselenggara dengan baik untuk memberi lebih keselesaan kepada mereka.

“Selain itu, ia bagi memastikan supaya penganut Sikh dapat menjalankan kegiatan keagamaan mereka sebaik mungkin.

“Kita turut mengiktiraf golongan ini dengan memenuhi segala keperluan yang diperlukan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah, Hari Vaisakhi, di Gurdwara Sahib, di sini, semalam.

Pada masa sama, Amirudin berkata, walaupun komuniti Sikh adalah satu-satunya kaum minoriti di Selangor, namun kebajikan dan kepentingan masyarakat itu tidak pernah dipinggir sama sekali.

“Sumbangan kaum Sikh penting terhadap negara, justeru kita akan sentiasa memastikan supaya tiada komuniti yang terlepas daripada menikmati kemudahan ini,” katanya.

Terdahulu, masyarakat Sikh merayakan sambutan Hari Vaisakhi pada 14 April setiap tahun untuk memperingati kelahiran Khalsa, iaitu hari terpenting kepada masyarakat Sikh seluruh dunia.

=EZY=