OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 8 APR: PKNS FC mengatasi cabaran Perak dan menang 2 – 1 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, di sini, semalam.
The Red Ants memperoleh gol menerusi Faris Ramli pada minit ke-25 dan Safee Sali (m87) manakala Wander Luiz menjaringkan gol penalti pada masa kecederaan babak kedua untuk pasukan pelawat.
Biarpun mendapat tentangan hebat The Bos Gaurus namun pasukan kendalian Datuk K Rajagopal bijak mendominasi perlawanan dan mencipta peluang di depan pintu gol lawan.
Gol pembukaan PKNS FC menerusi Faris diperoleh hasil kealpaan pertahanan Perak dan pemain import dari Singapura itu tidak melakukan kesilapan untuk meletak bola ke dalam jaring mengatasi penjaga gol, Hafizul Hakim.
Skuad Mehmed Durakovic yang tersentak dengan jaringan itu, berusaha bangkit dengan beberapa serangan balas ke pintu gol PKNS FC tetapi segalanya tidak menjadi.
Tuan rumah terus selesa pada babak kedua apabila Safee Sali menjaringkan gol kedua apabila mendapat hantaran Mahalli Jasuli.
Ketika perlawanan hampir ke penghujung, Perak mendapat peluang merapatkan jurang dengan sepakan penalti apabila pertahanan PKNS FC melakukan kekasaran ke atas Nasir Basharudin.
Wander Luiz menyempurnakannya dan menghampakan Mohd Shahril Shaari untuk menjadikan keputusan 2 – 1.
Kemenangan itu memberi kelebihan kepada PKNS FC untuk perlawanan suku akhir kedua di gelanggang lawan, 21 April nanti.
=EZY=